Amar Singh Ishar Singh
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh. foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh akan membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamarudin yang didakwa telah memfitnah dan menjatuhkan imejnya.

Amar Singh berkata, dakwaan Raja Petra bahawa beliau telah membawa teman wanita sewaktu membuat serbuan dan menggeledah rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah fitnah serta berniat jahat.

“Saya juga difahamkan semua bekas pegawai kanan polis yang menyertai pasukan serbuan di rumah Najib juga akan membuat laporan polis ke atas Raja Petra yang kini bersembunyi di London dan mengeluarkan fitnah ke atas saya,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab tuduhan itu yang disiarkan sebuah portal berita pada rabu lalu.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur berkata, serbuan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dilaksanakan dengan teratur dan mengikut prosedur operasi standard yang mana barang rampasan direkodkan secara terperinci.

“Untuk makluman, sekitar 70 orang pegawai kanan dan anggota PDRM terlibat dalam serbuan dan pemeriksaan di rumah bekas PM itu termasuk jurugambar Jabatan Siasatan Jenayah, pegawai trafik dan detektif dan pasukan AMLA.

“Tiada mana-mana individu asing boleh menembusi atau menceroboh premis serbuan tanpa pengetahuan pasukan ini, lagi pun tiada wujud sebarang kemungkinan konspirasi melindungi mana-mana orang,” katanya sambil menambah tiada wanita yang hadir dan tiada barang yang diusik dalam serbuan itu.

Menurut Amar Singh, tiada individu yang boleh mengelak daripada rakaman kamera dan video kerana bangunan yang diserbu itu mempunyai lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV).

Malah katanya, wartawan yang berkampung di hadapan bangunan itu tidak melihat kehadiran wanita awam yang membawa keluar dua beg besar seperti didakwa Raja petra.

Dalam pada itu, Amar Singh yang menafikan telah berhijrah ke Kanada memberitahu, beliau masih menetap di Malaysia. -MalaysiaGazette