Pengurus Kanan Dana Peladang Kebangsaan, Noor Azizah Abdul Aziz bercakap ketika ditemubual sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2022.

SERDANG – Ahli-ahli peladang berpeluang menyertai unit perniagaan strategik perkhidmatan perbankan yang menyediakan khidmat kewangan kompetitif kepada ahli dan rangkaian Pertubuhan Peladang (PP) menerusi Dana Peladang Kebangsaan (DPK).

Pengurus Kanan Dana Peladang Kebangsaan, Noor Azizah Abdul Aziz berkata, penubuhan unit perniagaan strategik itu bagi memberi kemudahan kaedah simpanan selamat dan pengeluaran wang apabila perlu oleh ahli-ahlinya.

Bukan setakat itu, katanya, simpanan yang dibuat menerusi dana tersebut juga menguntungkan.

Setakat ini, pihaknya telah menguruskan pelaburan ahli peladang lebih daripada RM250 juta yang mana pulangannya diberi dalam bentuk dividen sebanyak lapan hingga 10 peratus kepada ahli setiap tahun.

“Kita juga ada produk-produk yang kita beri kepada ahli-ahli peladang PPN (Pertubuhan Peladang Negeri, PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) atau pun ahli-ahli yang mempunyai projek-projek ekonomi untuk mereka dapatkan pembiayaan.

“Bagi caj kewangan pula ia sangat kompetitif…kita boleh bagi pembiayaan maksimum sehingga RM5 juta untuk tempoh sehingga 15 tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 dekat Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Menurut Noor Azizah lagi, pelaburan itu merupakan antara yang mendapat pulangan paling baik dan transaksinya boleh dibuat pada bila-bila masa.

Terdapat perancangan pada tahun ini di mana pelabur boleh memantau perkembangan pelaburan masing-masing pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan aplikasi pada telefon bimbit, katanya.

Beliau menjelaskan, aplikasi itu akan dibangunkan dan pelancarannya bakal dilakukan pada mesyuarat agung tahunan NAFAS akan datang.

“Jadi, ahli-ahli tak perlu nak fikir-fikir sebab mereka boleh tengok aplikasi ini tidak kira siang atau malam mereka boleh tambah pelaburan,” ujarnya.

Setakat ini hanya 12,000 ahli yang melabur menerusi dana pelaburan itu sedangkan keahlian peladang secara keseluruhan jumlahnya melebih satu juta.

“Kita memang nak besarkan lagi jumlah itu dari segi kesedaran dan peluang kepada ahli peladang…kita boleh beri pembiayaan kepada mereka.

“Kami berharap agar ahli-ahli peladang menggunakan peluang yang ada kerana ia sangat bermanfaat untuk masa depan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette