MELAKA – Semua pegawai khususnya ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini di beri amaran tegas untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan awam termasuk kepada media yang boleh memalukan kerajaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, dalam menghadapi cabaran dunia digital hari ini, kumpulan berkenaan perlulah lebih bijak dan sensitif sebelum mengeluarkan pernyataan awam kepada sebarang platform mahupun media bagi mengelakkan sebarang salah faham.
“Saya menegaskan dan memperingatkan semua warga kerja perkhidmatan awam Negeri Melaka untuk sentiasa berintegriti dan berhemah semasa menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.
“Peraturan sedia ada jelas menerangkan pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan imej kerajaan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapannya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pertadbiran Kerajaan Negeri dan Pelancaran Tabung Hari Pahlawan 2022 Peringkat Negeri Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, arahan itu juga sejajar dengan arahan Kerajaan Persekutuan menerusi surat edaran
yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam di bawah kelakuan dan tata tertib 1993.
“Perkara pertama yang saya sentuh pada pagi ini amat penting demi tidak memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau
keputusan kerajaan tentang apa-apa isu.
“Kesemua prinsip yang saya sebutkan ini adalah bertujuan untuk mempertahankan prinsip ‘neutrality’ dan ‘impartiality’ dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Tambah beliau, semua pegawai awam terutamanya di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan telus dan profesional.
Ketua-ketua jabatan katanya, perlu memberi penekanan yang serius terhadap perkara itu serta perlu memaklumkan kepada kakitangan di bawah seliaan masing-masing supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tata etika yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette.