Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam (kanan) ketika membuat tinjauan Ops ATM pemeriksaan pematuhan harga maksimum runcit minyak masak botol di Pasaraya TMG Mart Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OGOS 2022.

GOMBAK- Sebanyak 126 kes dengan jumlah RM2,413,569.93 nilai rampasan telah berjaya diperoleh hasil Operasi Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Ops ATM) yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara sejak 1 Julai 2022 sehingga semalam.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, kesemua kesalahan itu dikesan menerusi pemeriksaan di 16,562 premis termasuk 729 premis pemborong dan peruncit .

Sebanyak 239 operasi bersepadu dijalankan bersama agensi penguat kuasa lain termasuk polis sepanjang tempoh tersebut.

Antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemborong dan peruncit sepanjang tempoh pemeriksaan itu adalah didapati menyeleweng minyak masak peket dari segi pembungkusan semula dalam bentuk botol dan dijual kepada industri serta membekalkan minyak masak kepada pihak tidak berlesen dan tidak berkelayakan di negara ini.

“Ada juga pengusaha seolah-olah menyorok bekalan dengan mengalihkan atau menyimpan bekalan di tempat tidak dilesenkan, selain secara sengaja atau tidak sengaja gagal menyelenggara rekod bekalan mereka kepada kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menyertai Op ATM KPDNHEP Selangor dan pemeriksaan pematuhan harga maksimum harga minyak masak botol di sebuah pasar raya yang terletak di Taman Bolton, Batu Caves di sini, petang tadi.

Azman Adam bercakap pada sidang media selepas selesai membuat tinjauan Ops ATM pemeriksaan pematuhan harga maksimum runcit minyak masak botol di Pasaraya TMG Mart Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OGOS 2022.

Mengulas lanjut, Azam berkata, harga maksimum runcit minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol berat lima kilogram (kg) ditetapkan pada harga RM34.70 manakala RM21.70 (3 kg); RM14.70 (2 kg) dan RM7.70 (1 kg).

Malah, katanya, penentuan harga maksimum runcit itu diwartakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2022 yang berkuatkuasa pada 8 Ogos lalu susulan keputusan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI).

“Sejak hari pertama harga maksimum itu dilaksanakan bermula 8 Ogos lalu, sebanyak 17 peratus premis perniagaan didapati menjual minyak masak di bawah harga siling maksimum yang ditetapkan dan meningkat kepada 31 peratus premis, semalam manakala selebihnya 68 peratus lagi menjual mengikut harga ditetapkan kerajaan.

“KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan secara komprehensif sebegini secara rambang di pasaran dengan mengenal pasti premis runcit utama yang menjadi fokus utama pengunjung di sesebuah lokaliti bagi memastikan bekalan minyak masak dalam botol dijual pada harga ditetapkan tanpa mengundang masalah kepada rakyat,” ujar beliau.

Mana-mana peniaga atau pemborong yang didapati gagal mematuhi peraturan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu manakala bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast