Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan akan membuat satu pengumuman penting mengenai isu kebajikan pekerja p-Hailing dan e-hailing dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, kementeriannya kini dalam peringkat mengkaji perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan isu berkenaan.

“Saya akan buat satu pengumuman penting dalam masa seminggu atau dua ini. Kementerian saya sedang mengkaji.

“Sekiranya kita nak tunggu akta itu lulus akan ambil masa lama. Jadi, saya sudah bincang dan dalam seminggu dua ini saya akan buat pengumuman bagaimana kita boleh gunakan kuasa Menteri Sumber Manusia untuk memberi jaringan keselamatan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas melancarkan Pinjaman Patuh Syariah (PLK-i) PTPK di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat  Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, sekumpulan penghantar p-hailing bertindak tidak beroperasi selama 24 jam sebagai tanda boikot mereka dengan syarikat penyedia perkhidmatan. – MalaysiaGazette