Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berucap pada Majlis Perasmian Laman Watani Yayasan Waqaf Malaysia di Laman Watani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) digesa mengambil tindakan terhadap seorang lelaki dipercayai warga Singapura yang didakwa menyebarkan kandungan berunsur lucah melalui akaun Facebook miliknya di Perak, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, lebih memalukan apabila tindakan tidak bermoral ini dilaporkan individu bukan Islam ketika lawatan kerjanya ke Pulau Pinang, baru-baru ini.

“(Orang) bukan Islam pula kena jagalah sensitiviti orang Malaysia, kita majoriti orang Islam, tiada masalah itu hak awak.

“Saya datang ke Pulau Pinang baru-baru ini dilaporkan seorang Cina dari Bukit Mertajam mengenai seorang Cina dari luar negara membuat pertunjukan cukup lucah di Malaysia sampai mendapat pendapatan hingga RM200,000.

“Kita harap perkara ini juga diambil tindakan, orang Cina sendiri sudah protes, walaupun dia bukan Islam, dia ada akhlak dan moral, tak nak cucu dia rosak, sedangkan Singapura pun tak dibenarkan buat perkara-perkara macam itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, mendedahkan lelaki berusia lingkungan 60-an itu menggunakan akaun Facebook ‘Wang Lei’ untuk menyebar video dengan kandungan berunsur lucah.

Video itu juga memaparkan lelaki terbabit memakai baju T berwarna hitam yang di bahagian luarnya terdapat pakaian dalam wanita berwarna merah jambu dan mengenakan skirt putih.

Sebelum ini, lelaki berkenaan dilaporkan pernah membuat promosi di sebuah pusat beli-belah di Ipoh, Perak yang disiarkan secara langsung di Facebooknya, meminta seorang wanita tempatan meniup kondom untuk dijadikan belon. – MalaysiaGazette