MELAKA – Seorang sami yang juga orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang doktor, Mei lalu.
Tertuduh, M Raja Gopal, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 26 tahun di Katil No 25, wad A-G Nefrologi Blok A, Hospital Melaka dengan cara menyentuh payudaranya dengan niat mencabul kehormatan mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 7.30 malam 12 Mei lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh tidak menganggu mangsa dalam apa jua cara.
Peguam bela tertuduh, P Thisharmini bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman paling rendah dengan alasan anak guamnya adalah seorang OKU, mempunyai penyakit kencing manis dan angin ahmar.
Tertuduh juga katanya, sudah berusia 52 tahun dan mempunyai lima orang anak perempuan.
Mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa juga medium dan perlu melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran.
Kes akan disebut semula pada 26 September ini. – MalaysiaGazette.