Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.

LUMUT – Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak akan sesekali membiarkan dana awam dibelanjakan dengan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan peribadi, apatah lagi melibatkan aset pertahanan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BNS, Kapten (B) Ir Azhar Jumaat berkata, sebaliknya Mindef sangat tegas jika melibatkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lebih-lebih lagi untuk mempertahankan kedaulatan negara.

“Saya tidak fikir Mindef atau kerajaan tidak ambil tahu atau tak kisah untuk belanja RM6 bilion untuk sesuatu yang tidak ada.

“Mindef, TLDM sangat ketat dalam keperluan mereka sebelum melepaskan setiap satu sen dana awam.

“Mereka tidak semudah melepaskan atau bayar kami untuk RM6 bilion untuk tiada apa-apa,” katanya ketika sesi taklimat bersama petugas media di Markas TLDM, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, pembayaran lebih RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak pembinaan LCS dibuat bagi menampung perbelanjaan pembelian hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal berkenaan.

Ahmad Nazim berkata, nilai keseluruhan kontrak pembinaan LCS adalah sebanyak RM9 bilion dengan progres pembinaan lima kapal berkenaan ketika ini adalah 55 peratus.

Dalam pada itu, Azhar menegaskan, BNS pernah tidak melakukan tuntutan palsu untuk mendapatkan bayaran sehingga RM6.08 bilion daripada kerajaan meskipun tiada satu pun LCS diserahkan kepada TLDM setakat ini.

“Kami sebenarnya melakukan kerja sebenar dan profesional. Tidak mudah untuk bina kapal seperti ini, ia sangat rumit, sangat padat, spesifikasi yang sangat ketat di segi prestasi dan keperluan oleh pengguna akhir (TLDM).

“Kita tidak hanya buat wayang kulit atau membuat tuntutan palsu atau sebarang representasi palsu kepada pihak awam, pihak berkuasa atau pemegang taruh kami,” katanya. – MalaysiaGazette