Rais (kanan) bertanyakan sesuatu kepada wakil syarikat kitar semula yang mengambil bahagian pada Program Singgit Seposen Daerah Jasin di Dewan Alamanda, Jasin, Melaka hari ini.

MELAKA – Kempen amalan kitar semula melalui Program Singgit Seposen akan diperluaskan kepada semua sekolah rendah di negeri ini ke arah meningkatkan pembudayaan amalan hijau bermula di bangku sekolah.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia akan menjadi pelengkap kepada program Eco-Schools yang mempunyai matlamat sama menjadikan Melaka sebagai negeri lestari menjelang 2035.

“Di peringkat sekolah, amalan hijau ini kita akan tumpu pada Program Eco-Schools yang mana sebanyak 17 buah sekolah di Melaka  telah menerima pengiktirafan itu berikutan menekankan beberapa sudut pengamalan hijau.

“Walau bagaimanapun kempen Program Singgit Seposen untuk memupuk amalan hijau ini bukan hanya tertumpu kepada dewasa tetapi boleh juga bermula dibangku sekolah lagi,” katanya.

Rais Yasin

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Singgit Seposen Daerah Jasin di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Mengulas lanjut, Rais berkata, Program Singgit Seposen bertujuan mendidik masyarakat menguruskan sisa buangan di rumah dengan lebih teratur yang pada masa sama membantu komuniti menjaga pendapatan daripada hasil kitar semula.

Ia jelas beliau berkonsepkan pandu lalu, iaitu peserta mendaftar di kaunter pengimbas sebelum meletakkan barangan terpakai di kaunter mengikut kategori sisa yang dibawa.

“Mereka kemudian akan menerima wang di kaunter bayaran dengan kadar sisa minyak masak RM2.50 sekilogram (kg), elektronik (30 sen/kg), fabrik (10 sen/kg), tin aluminium (RM1/kg), botol kaca (RM0.075/kg), kertas (10 sen/kg) dan botol plastik minuman 15 sen sekilogram.

“Seperti hari ini sahaja, kita berjaya mengumpul 4,500 kg daripada tujuh jenis sisa dengan nilai RM2,300 yang diagihkan kepada peserta,” katanya. – MalaysiaGazette.