Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, di Kuala Lipis ditutup sementara waktu susulan kes pergaduhan semalam.

LIPIS  – Tiga lelaki suspek yang disyaki terlibat dalam kes pukul  seorang pelajar dan guru tahfiz yang berlaku di Lipis sudah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Lipis sebelum mendapatkan perintah reman.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dua daripada tiga lelaki berkenaan ditahan di Himpunan Ahli RXZ di Kuala Terengganu.

Manakala  seorang lagi ditahan di Jerantut, Pahang.

“Kedua-dua suspek yang ditahan di Terengganu difahamkan turut serta dalam perjumpaan besar-besaran RXZ  pada jam 2 pagi.

“Manakakala seorang lagi ditahan jam 8 pagi ini di Felda Lepar Utara 1, Jerantut,” katanya ketika ditemui sidang media di IPD Lipis, hari ini.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan.

Kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1957 atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.

Ia hasil ujian urin mendapati ketiga-tiga suspek yang berusia 30-an itu positif dadah jenis heroin.

Tangkap layar kejadian lelaki yang dirakam membelasah dua individu berpakaian jubah putih di sebuah pusat tahfiz semalam

Azli berdasarkan siasataan didapati punca pergaduhan itu disebabkan perselisihan faham kecil dan tidak berpuas hati soal pembayaran makanan di pusat  tahfiz terbabit.

Semalam, polis menahan dua lelaki berhubung kes berkenaan di Damak, Jerantut setelah video berkenaan tular di media sosial.

Video berdurasi 2.51 minit yang tular itu memaparkan seorang lelaki memakai seluar pendek memarahi mangsa sebelum bertindak memukulnya.

Pergaduhan itu menyebabkan seorang guru tahfiz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan serta badan lebam dan seorang pelajar pula cedera ringan.

Sementara itu, Tinjauan MalaysiaGazette di pusat tahfiz berkenaan pada hari ini mendapati pusat tersebut telah ditutup sementara sehingga keadaan kembali tenang.

Seramai 25 pelajar yang kebanyakkan berasal dari daerah Lipis dan Gua Musang serta tiga tenaga pengajar dibenarkan pulang  ke kediaman masing-masing.

Pusat itu dijangka beroperasi semula pada bulan depan.  – MalaysiaGazette