Dr. Nazri Khan

KUALA LUMPUR- Momentum belian di Bursa Malaysia dijangka berterusan ke minggu hadapan, dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak melepasi paras psikologi 1,500 di sepanjang minggu, didorong oleh sentimen pasaran yang positif.

Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Nazri Khan Adam Khan berkata, bursa tempatan kembali pulih memandangkan ia telah bergerak di bawah paras psikologi 1,500 untuk beberapa ketika.

Beliau menambah sentimen dalam pasaran juga kembali memberangsangkan berikutan penurunan kadar inflasi Amerika Syarikat yang membantu mengurangkan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi global.

Selain itu, keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih baik daripada jangkaan pada suku kedua  2022 yang menyaksikan ekonomi berkembang sebanyak 8.9 peratus — lebih tinggi daripada jangkaan konsensus antara 5.5 dan 6.5 peratus — turut menyumbang kepada sentimen positif pasaran.

“Prestasi yang kukuh adalah isyarat kepada pelabur bahawa kita akan dapat mengekalkan pemulihan.

“Selagi FBMKLCI kekal melepasi paras 1,500, kita akan kekal utuh. Saya menjangkakan pasaran terus kekal stabil dan tahap selanjutnya adalah pada paras 1,520 untuk sokongan dan 1,530 (rintangan),” katanya kepada Bernama.

Nazri Khan turut mengunjurkan inflasi akan mereda mulai suku akan datang.

Pada penutupan urus niaga Jumaat, indeks penanda aras FBM KLCI menambah 0.63 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,506.19 berbanding penutupan Khamis pada 1,505.56, kerana keuntungan telah dihadkan oleh kegiatan pengambilan untung sederhana.

Berdasarkan perbandingan mingguan, indeks penanda aras mengembang 9.32 mata kepada 1,501.55 daripada 1,492.23 pada akhir minggu sebelumnya, terutamanya dipengaruhi oleh faktor luaran.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 23.73 mata kepada 10,683.18, Indeks FBMT 100 meningkat 21.93 mata menjadi 10,427.61 manakala Indeks FBM Emas Syariah memperoleh 39.99 mata kepada 10,790.34.

Indeks FBM 70 turut bertambah 14.27 mata kepada 12,761.39 dan FBM ACE lebih tinggi 62.71 mata kepada 4,936.74.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 197.29 mata kepada 16,827.61, Indeks Perladangan mengembang 71.54 mata kepada 7,196.81 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.06 mata kepada 184.04 manakala Indeks Tenaga menambah 19.91 mata kepada 663.12.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 11.51 bilion unit bernilai RM7.86 bilion daripada 12.41 bilion unit bernilai RM7.96 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turut menyusut menjadi  7.77 bilion saham bernilai RM6.74 bilion berbanding 8.07 bilion saham bernilai RM6.75 bilion pada minggu sebelumnya.

Sementara itu jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.47 bilion unit bernilai RM240.25 juta berbanding 1.56 bilion unit bernilai RM269.81 juta minggu lepas.

Sebaliknya jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 2.27 bilion saham bernilai RM886.35 juta daripada 2.76 bilion saham bernilai RM938.56 juta minggu sebelumnya. – BERNAMA