ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat insiden kekecohan yang dicetuskan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan rawatan di sebuah klinik kecantikan di Kepong, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima satu laporan pada hari ini yang mendakwa seorang lelaki mencetuskan kekecohan dan mengamuk di hadapan klinik di Vista Magna, Metro Prima Kepong, dekat sini.

Katanya, dalam kejadian pada jam 3.30 petang semalam, suspek meminta klinik tersebut untuk membayar ganti rugi kerana didakwa telah menyebabkan kecacatan pada wajahnya semasa menerima khidmat rawatan daripada doktor di klinik tersebut.

“Suspek juga telah membuat rakaman video secara langsung di Facebook, ia bertujuan untuk memburukkan imej premis itu di media sosial dengan menggunakan telefon bimbitnya serta mengganggu pelanggan yang datang ke premis tersebut.

“Suspek juga bertindak menjerit-jerit dan menekan butang loceng pintu premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Eng Lai, hasil semakan lanjut polis mendapati rakaman video berdurasi enam minit 32 saat memaparkan insiden lelaki membuat kekecohan di hadapan premis kecantikan itu ditular di media sosial.

Katanya, berikutan laporan polis yang diterima daripada pengadu, polis memulakan siasatan terhadap insiden itu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana kesalahan memfitnah serta memuat naik kandungan jelik di media sosial.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau dikenakan denda jika disabitkan kesalahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette