logo luar negara
Gambar hiasan

TOKYO – Ribut Tropika Meari membawa hujan lebat di Pulau Honshu ketika ia menuju ke utara ke arah ibu negara Jepun hari ini.

Agensi Meteorologi Jepun berkata, Meari mendarat di Shizuoka, barat daya Tokyo, pada sebelah petang, membawa hujan lebat secara tiba-tiba dan angin kencang dan mencetuskan amaran banjir.

Lebih 72,000 orang di bandar utama kawasan itu, Shizuoka diarah berpindah kerana kemungkinan tanah runtuh.

Kawasan Tokyo dilanda hujan lebat berkala bermula pada lewat pagi.

Amaran mengenai ombak tinggi di kawasan pantai telah dikeluarkan untuk Tokyo, Kanagawa, barat daya Tokyo dan kawasan lain yang berdekatan.

Pihak berkuasa memberi amaran supaya tidak mendekati sungai atau perairan lain kerana parasnya mungkin meningkat secara tiba-tiba.

Hujan dijangka bertambah buruk di Tokyo dan kawasan di utara pada waktu petang.

Amaran mengenai banjir, angin kencang dan hujan lebat telah dikeluarkan untuk kawasan Tokyo.

Jepun berada di tengah-tengah cuti musim panas tetapi perubahan cuaca menyebabkan ada yang terpaksa membatalkan rancangan.

Nippon Airways telah membatalkan beberapa penerbangan tempatan susulan ribut. Syarikat penerbangan tambang rendah Skymark Airlines juga membatalkan beberapa penerbangan.

Perkhidmatan kereta api laju telah ditangguhkan, dan had laju di terowong di Shizuoka diturunkan buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

Bahagian Lebuhraya Tomei, yang menghubungkan Tokyo dengan Nagoya, telah disekat buat sementara waktu kerana hujan lebat.

Hujan diramalkan akan reda pada awal Ahad di kawasan Tokyo, tetapi kemudian ia akan melanda timur laut Jepun. – AP