Peserta Skim Tanah Warisan, Md Saifullah Azran Radzali menerima surat waran daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Majlis Pelancaran Dan Penyerahan 250 Surat Tawaran STW Pahang di Kuala Medang, Pahang.

LIPIS – Skim Tanah Warisan (STW) Pahang diwujudkan untuk meringankan beban kewangan peserta bagi memiliki lot tanah dan membina kediaman sendiri berpandukan teori hierarki keperluan Maslow.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan teori yang diasaskan Abraham Maslow itu, kerajaan bersedia memenuhi tanggungjawab bagi membantu menyediakan keperluan tempat tinggal kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Lima keperluan lima yang perlu dipenuhi menerusi teori itu ialah fisiologi, keselamatan, sosial, penghargaan diri dan pencapaian hasrat diri, katanya

“Kalau mengikut Teori Maslow pertama sekali keperluan makanan, kedua pakaian, dan ketiga tempat berteduh, ketiga-tiga ini penting manakala dua lagi menjadi keutamaan kepada kerajaan untuk menyediakan tempat berteduh.

“Kita fikir menjadi tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan rumah, jadi kalau nak tolong, tolong betul-betul,” katanya selepas majlis Pelancaran Dan Penyerahan 250 Surat Tawaran STW Pahang dan  169 Penyampaian Suratan Hak Milik Rancangan Felcra di Kuala Medang, hari ini.

Jelasnya, projek perintis itu yang merupakan skim pertama di Pahang bertujuan mempelbagaikan lagi skim tanah sedia ada bagi membolehkan pemilikan tanah untuk rakyat di negeri ini dimaksimumkan.

Katanya, ia melibatkan pemberian hak milik tanah lot-lot perumahan seperti Rancangan Tanah Kelompok (RTK) dan Skim Tanah Rakyat (STR) namun STW dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan dan bekalan air.

“Projek perintis  bagi pelaksanaan program STW ini adalah di Kuala Medang, Lipis di atas tanah kerajaan seluas 30.425 hektar yang akan memberi manfaat kepada 250 orang peserta.

“Bayaran premium bagi setiap plot telah ditetapkan sebanyak RM10,000  sahaja bagi keluasan setiap lot tanah kediaman adalah antara 8,000 kaki persegi hingga 10,000 kaki persegi,” katanya.

Difahamkan peserta dikenakan moratorium selama 10 tahun tanah tersebut tidak boleh dipindah milik kepada pihak lain, namun peserta dibenarkan mencagar di bank bagi mendapatkan pinjaman untuk membina rumah di atas lot tanah berkenaan.

Tambah Wan Rosdy, kumpulan sasar skim merupakan penduduk setempat yang berpendapatan rendah dan peserta perlu membina rumah di atas lot tapak dalam tempoh lima tahun daripada tarikh mendapat hak milik.

Kos pembinaan rumah pula ditanggung sepenuhnya oleh peserta, dan boleh memilih reka bentuk dan luas rumah bergantung kepada kemampuan kewangan mereka. – MalaysiaGazette