Norshida Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tuntutan agar kuota 30 peratus wakil wanita dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bakal disuarakan pada Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) esok.

Tuntutan itu menjadi agenda utama untuk diusul dan dibahas dalam perhimpunan parti melibatkan komponen sayap BN iaitu Wanita UMNO, MCA dan MIC.

Menurut Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, kuota itu diharap mendapat pertimbangan pucuk kepimpinan parti pada PRU akan datang.

“Ini adalah hasrat wanita yang sekian lama berganding bahu dengan jentera pelbagai peringkat dan kekal setia dalam usaha membantu kemenangan parti.

“Kuota 30 peratus yang diperjuangkan selama ini juga merupakan satu manifestasi dan penghargaan kepada wanita yang merupakan tulang belakang parti.

“Tanpa penglibatan dan kerjasama semua pihak ianya tidak membuahkan hasil kepada parti, namun sebagaimana yang sering diuar-uarkan, wanita sebagai tulang belakang kepada UMNO akan terus bersuara dalam soal ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Wanita BN mengadakan konvensyen ini esok sebagai persiapan menuju PRU akan datang.

Norshida yang juga Ketua Wanita Segamat percaya, jika tuntutan itu menjadi realiti dan mencapai kuota sasaran, ia adalah satu pengiktirafan kaum wanita di seluruh negara.

Katanya, Wanita BN akan perkasa dan tingkatkan usaha penglibatannya dalam parti selaras dengan hasrat yang diperjuangkan pucuk kepimpinan.

Ini jelas beliau, akan menambahkan lagi peranan wanita sebagai pembuat dasar khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negara serta pembangunan modal insan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast