Kittichai Chaengkhao

KOTA BHARU – Seorang petinju dari Thailand yang juga peserta Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022 di Padang Kolej Uniti Kota Bharu, Kampung Che Deris Badang di sini, meninggal dunia akibat pendarahan otak semalam (Sabtu).

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata Kittichai Chaengkhao, 28, yang berasal dari Chumpong tidak sedarkan diri selepas menerima pukulan ‘knockout’ dalam satu perlawanan menentang petinju Malaysia berusia 29 tahun daripada Kelab Red Army Kuala Lumpur pada Jumaat.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri telah dibawa ke Klinik Kesihatan Badang kira-kira pukul 1 pagi semalam (Sabtu), namun, mangsa kemudiannya dikejarkan ke unit kecemasan HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II) dan meninggal dunia pada pukul 10.57 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata mayat Kittichai telah dibawa ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang untuk diserahkan kepada waris pada pukul 8 malam hari yang sama.

“Polis juga telah mengambil keterangan daripada pihak penganjur berhubung kes tersebut dan mendapati pihak terbabit mempunyai permit untuk menganjurkan kejohanan Muay Thai itu,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast