Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ahmad Hamzah (tengah) bergambar bersama selepas meyaksikan penyerahan sijil Malaysia Book of Record (MBOR) Musim Kejatuhan Benih Semulajadi Kerang Terpanjang (18 bulan) yang diwakili oleh Perunding Rekod kanan MBOR, Siti Hajah Johor (dua kiri) dan diterima oleh Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Mohd Sufian Sulaiman (kanan) sempenan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 14 OGOS 2022.

SERDANG – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) hari ini mencipta sejarah apabila dianugerahkan dua sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi Musim Kehadiran Benih Semulajadi Kerang Terpanjang selama 18 bulan dan Pendaratan Benih Kerang Semulajadi Terbesar.

Difahamkan, rekod itu berjaya dicatatkan dalam satu musim dari 4 November 2019 hingga 31 Mei 2021 di Pantai Teluk Lekir, Perak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, penganugerahan itu  hasil daripada kajian Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) sejak 2009 dengan kajian oseanografi pantai.

“Ia bertujuan untuk menilai kesesuaian cadangan tapak ternakan kerang selain daripada kajian batimetri yang komprehensif dalam usaha untuk memahami keadaan arus, kedalaman dasar, trend perubahan suhu dan kemasinan air laut pada tarikh tertentu dalam sebulan.

“DOF telah berjaya menunjukkan kejutan suhu mampu mempengaruhkan pembenihan kerang di makmal. Susulan itu, satu kajian untuk mengesahkan dapatan makmal telah dijalankan pada tahun 2018.

“Sejumlah 10,000 kilogram (kg) induk kerang matang pelbagai saiz telah ditaburkan pada 16 oktober 2018 di Teluk Lekit Perak dan sehingga kini, jumlah pendaratan benih kerang pada 2019 adalah sekitar 238.89 TM,” katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ahmad Hamzah bercakap kepada media ketika Majlis Penganuerahan Malaysia Book of Record kepada Jabatan Perikanan Malaysia sempenan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 14 OGOS 2022.

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan kedua-dua sijil MBOR kepada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Mohad Sufian Sulaiman di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 hari ini.

Tambah Ahmad, terdapat tiga kaedah pembenihan aruhan kerang digunakan dalam kajian tersebut iaitu secara aruhan fizikla, kimia dan biologi.

“Tiga model berkait dengan pembenihan aruhan yang telah dicadangkan iaitu Cadangan Lokasi Pembenihan Aruhan, Cadangan Musim Pembenihan Aruhan dan Cangan lokasi Kejatuhan Benih.

“Ketiga -tiga model tersebut kini sedang diuji di beberapa lokasi di negeri lain dan telah menunjukkan output yang baik dan kehadiran benih kerang juga dilaporkan buat pertama kali di Pantai Merlimau, Melaka pada penghujung tahun 2019,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kejayaan projek pembenihan aruhan ini telah menampakkan hasil dengan pendaratan kerang dewasa negara mula meningkat dari tahun 2017 sehingga kini.

DOF juga kini dalam proses membangunkan kaedah teknik ternakan kerang yang lebih cepat dimana tempoh ternakan 18 hingga 24 bulan akan dipendekkan sekitar lapan hingga 12 bulan.

Selain itu, Ahmad menambah, ujuran analisis kos pengeluaran dan keuntungan kerang yang dicatatkan adalah sebanyak 38,160 kilogram (kg) dengan nilai RM315,000 bagi satu musim atau satu pusingan.

“Anggaran hasil purata pula sebanyak RM272, 000 dengan kos operasi sejumlah RM42, 000. Produktiviti secara puratanya dianggarkan pada 1,817 kg dengan anggaran pengeluaran pada titik pulang modal sebanyak 2,346 kg dengan mencatatkan RM19, 000,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap industri kerang negara dapat dipulihkan semula dan Malaysia mammpu menjadi pengeluar terbesar di Asia Tenggara. – MalaysiaGazette