Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Pembukaan Konvensyen Wanita Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru agar rakyat tidak terpesona dengan kata-kata Raja Fitnah yang muncul semula.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, individu itu akan mengeluarkan apa sahaja tuduhan terhadap kerajaan bagi memusnahkan UMNO dan BN.

“Beliau telah menjadi Timbalan Presiden parti pembangkang.

“Beliau akan berkata apa sahaja untuk memusnahkan kita, maka tugas kita untuk memberikan penerangan untuk menongkah membidas tuduhan ini,” katanya merasmikan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu tidak menamakan siapa raja fitnah yang disebut oleh beliau namun ada menyebut jawatan individu berkenaan.

Justeru itu, katanya, UMNO dan BN harus memberikan penjelasan mengai isu yang dibawa pembangkang.

“Duit itu tidak lesap, ia digunakan untuk membeli peralantan perang di mana kapal itu sedang dibina.

“Cuma dalam laporan Ketua Audit Negara mengatakan tidak dihantar dan disiapkan dalam tempoh yang diberikan iaitu pada 2022,” katanya lagi.

Mohamad berkata isu ini tidak ada kena mengenan dengan BN mahupun UMNO kerana ia adalah kelemahan pentadbiran syarikat.

“Ini adalah kelemahan syarikat, jika betul Perdana Menteri ambil tindakan ataupun SPRM siasat dan jika ada penyalahgunaan atau kelemahan syarikat biarlah pihak berkuasa ambik tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi Ramli yang Timbalan Presiden PKR melemparkan tuduhan berkaitan projek LCS oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antaranya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menerima dokumen sebut harga daripada Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS) sebelum surat lantikan (LOA) kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan dokumen dalaman BNS yang dibocorkan kepadanya itu mengandungi sebut harga daripada DCNS bernombor 10/DCI/ASI/0097 kepada BNS bertarikh 23 Disember 2010.

Beliau turut menerima dokumen sebut harga daripada sebut harga dari DCNS bernombor 11/DCI/ASI/0029 bertarikh 4 April 2011 dan surat niat (Letter of Intent)) dari DCNS bernombor BNS/SGPV/LOI/1011 bertarikh 21 Oktober 2011.- MalaysiaGazette