najib syed saddiq
Najib bersama Syed Saddiq

HARI ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melepaskan ‘peluru’ yang cukup ampuh bagi membalas serangan membuta tuli daripada Pakatan Harapan (PH) dalam isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Beliau membentangkan fakta perbandingan yang sahih melibatkan isu tersebut dan skandal terowong ‘ghaib’ dasar laut Pulau Pinang melibatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

Penulis tidak ingin membicarakan tentang empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika skandal yang bercanggah dengan prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) dijuarai DAP itu didakwa berlaku. Biarlah mahkamah yang menentukan keputusannya.

Cuma agak menghairankan kerana hampir tidak kedengaran suara ‘pejuang-pejuang integriti’ PH apabila berlaku skandal melibatkan pemimpin-pemimpin mereka sendiri termasuk yang melibatkan Guan Eng.

Sikap mereka ternyata berbeza dalam isu LCS yang menyaksikan mereka begitu ghairah menyerang kepimpinan Barisan Nasional (BN) khususnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sejak isu perolehan LCS ‘meletup’ selepas dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) awal bulan ini, pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lebih banyak melemparkan ‘auta’ dalam serangan mereka terhadap Najib.

Najib pula mengambil pendekatan yang berbeza dalam menangkis serangan PH. Beliau lebih gemar menggunakan fakta sahih berhubung projek LCS tanpa menjejaskan aspek kerahsiaan aset pertahanan negara itu.

Contohnya, Syed Saddiq secara semberono menuduh projek LCS dihentikan pada April 2018 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ketika itu, Malaysia masih aman dan makmur di bawah pentadbiran BN yang diketuai Najib.

Agak menarik apabila Najib menggunakan fakta yang ‘disahkan’ oleh bekas Menteri Pertahanan era PH, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong bagi menafikan tuduhan auta Syed Saddiq.

Seperti yang dibangkitkan Najib, di mana logiknya Mohamad dan Chin Tong melawat projek yang telah digantung atau dihentikan oleh kerajaan BN pada 2018 dan 2019? Persoalan itu setakat ini masih belum dijawab oleh Syed Saddiq.

Mungkin lebih baik Syed Saddiq memberi tumpuan terhadap kes tuduhan salah guna kuasa melibatkan dana milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sedang dihadapinya daripada ‘menyalahgunakan’ TikTok untuk memutarbelitkan fakta berkaitan isu LCS.

Temubual ekslusif SkopMG bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. . Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.
Rafizi Ramli

Begitu juga dengan Rafizi yang berterusan menyerang Najib walaupun Ahli Parlimen Pekan itu berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam perolehan LCS termasuk berhubung pelantikan dua syarikat lain yang didakwa telah menyebabkan kos salah satu bahagian projek kapal berkenaan meningkat tiga kali ganda.

Hairan pula memikirkan sikap Rafizi yang hanya diam membisu apabila berlaku skandal melibatkan pemimpin-pemimpin PH termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah seksual di mahkamah.

Najib juga bersikap ‘gentleman’ apabila menyokong sepenuhnya cadangan pelbagai pihak termasuk Pemuda UMNO sendiri agar suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan supaya segala pembohongan dan fitnah yang dilemparkan PH dalam isu LCS akan terbongkar.

Selain itu, dakwaan pemimpin-pemimpin dan penyokong PH kononnya LCS adalah projek ‘halimunan’ terbukti tidak benar apabila rakyat dapat menyaksikan dalam laporan media bahawa kapal tersebut masih dalam pembinaan di Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS), Kapten (B) Ir. Azhar Jumaat yang memberi taklimat kepada lebih 40 wakil agensi media di lokasi tersebut semalam menyuarakan kekesalan dengan tuduhan yang mendakwa kononnya LCS yang dipaparkan dalam gambar yang tular selama ini hanyalah replika dan bukannya kapal sebenar.

Memang tidak salah apabila Rafizi dan Syed Saddiq menyuarakan pandangan dalam isu LCS namun biarlah kritikan yang mereka lontarkan itu berlandaskan fakta dan bukannya ‘pakai tembak’ sahaja. Jika tersilap kata, jadilah pemimpin yang berjiwa besar dengan meminta maaf.

Agar dilihat lebih seimbang dan adil, elok juga Rafizi dan Syed Saddiq bertanya kepada Mat Sabu dan Chin Tong mengenai punca yang menyebabkan kemajuan projek LCS tergendala sepanjang PH memerintah selama 22 bulan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Boo lah . Fakta apa najib berikan . Lcs 6 bilion dah lesap boss trowong lge berapa bilion wang rakyat hilang kenapa kamu tidak nyatakan ?? . Kes anwar dah selesai . Kes najib dan zahid macam mana . Kau sembang merewang nak tipu rakyat bodoh boleh lah boss . Rakyat sekarang dah boleh fikir sendiri . Fakta rafizi kenapa tak jawab kau merewang merata tu untok apa boss ku . Belajar malu lah sikit nak tipu pun biar masuk akal .

Comments are closed.