najib razak
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak peduli sekiranya Boustead Holdings muflis dan menyebabkan hampir 50 peratus nilai tabung simpanan tentera hilang.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa, PH tidak pernah mengambil tindakan untuk menyelamatkan projek kapal tempur pesisir (LCS) serta membantu Boustead dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Satu sen pun tidak pernah diluluskan kerajaan PH untuk dibayar kepada Boustead bagi meneruskan projek LCS biar pun masih ada baki RM3 bilion belum dibayar daripada jumlah peruntukan RM9.1 bilion bagi projek LCS.

“Seolah-olah PH tidak mahu projek LCS disambung,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh kelmarin bahawa Boustead boleh muflis dan sekiranya keadaan itu berlaku, ia akan menyebabkan LTAT hilang 46 peratus daripada nilainya.

Najib menambah, PH yang melewatkan dan membekukan projek tanpa menyelesaikan atau membantu sekali pun serta mempertikaikan apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhasrat menyambung semula projek LCS tahun lalu.

Beliau memberitahu, ramai yang tidak ingat pada Mei 2021, bekas Menteri Pertahanan era PH, Mohamad Sabu pernah membidas dan menuduh langkah itu kononnya bertujuan menjaga kontraktor kroni kerajaan.

“Kroni siapa? Itu Boustead milik LTAT,” jawab Najib.

Najib berkata, projek yang lewat boleh diselamatkan namun projek yang dibeku tanpa sebarang usaha menyelesaikan atau membantu akan menyebabkan kerugian besar setiap bulan dan akhirnya hasil projek tidak akan menjadi.

Ahli Parlimen Pekan itu menambah, Boustead dan LTAT mengalami kerugian RM50 juta sebulan akibat projek dibekukan ketika PH memerintah di mana situasi sedemikian tidak pernah berlaku semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Yang paling menyedihkan ialah orang PH tahu apa kesannya kepada LTAT. Bukan mereka tak tahu tapi mereka tak peduli pun nasib veteran (tentera) kami,” katanya. – MalaysiaGazette