KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilihat cuba memecah teka-teki ramai mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beliau menjangka PRU-15 akan diadakan tahun ini juga.
“Bacaan saya PRU-15 akan diadakan pada tahun ini juga tapi pandangan PM (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dia akan dengar nasihat daripada kita,” katanya dalam ucapan penutup Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran.
Turut hadir Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Datuk Heng Sai Kie (Wanita MCA) dan Datuk Mohana Muniandy (Wanita MIC).
Jelasnya, Ismail Sabri sudah tentu tahu bila masa untuk membubarkan Parlimen.
“Beliau (Ismail Sabri) tahu bila timing (masanya) yang sesuai. Dia tahu bilakah paling sesuai sebab isu akan terus timbul dan direka dan menjadi budaya kebencian (pengundi),” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mustahil untuk diadakan PRU-15 pada tahun hadapan kerana terdapat isu-isu seperti jangkaan peningkatan kadar inflasi.
“Saya yakin ianya akan diadakan pada tahun ini juga kerana banyak indikator yang menyebabkan ke arah itu dan saya merasakan kesiapsagaan semua jentera BN di semua peringkat telah dimulakan.
“Ini juga dinyatakan oleh Perdana Menteri tadi dan kita merasakan bahawa tahun depan tidak berapa sesuai untuk diadakan oleh kerana faktor ekonomi dan kadar inflasi yang akan bertambah.
“Saya fikir tahun ini adalah tahun yang sesuai untuk kita adakan PRU,” katanya lagi dalam sidang media selepas penutupan Konvensyen Wanita BN hari ini. – MalaysiaGazette