KUALA LUMPUR – Pelantikan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden PKR untuk mengetuai pasukan negeri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memperlihatkan parti itu bangit dengan lebih menyakinkan.

Menyifatkan mereka sebagai ‘pejuang’, Anwar berkata, mereka perlu tingkatkan ikhtiar dan waspada terhadap segala muslihat musuh yang kelihatan gelabah dan terdesak.

Ini kerana menurut Anwar, pemimpin negara semakin tertekan berikutan pendedahan yang dilakukan PKR.

“Tumpuan adalah ke arah kemaslahatan rakyat dan tata kelola pemerintahan. Elit pimpinan negara kian tertekan dengan penggeledahan dan pembongkaran isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Para pejuang perlu tingkatkan ikhtiar dan waspada terhadap segala muslihat musuh yang kelihatan gelabah dan terdesak,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Anwar menggesa supaya pimpinan parti itu bergerak sederap dalam satu pasukan jemaah.

Pesanan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR malam tadi.

“Saya memilih untuk melantik Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden untuk mengetuai pasukan negeri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sabah dan Sarawak adalah terkecuali kerana Pengerusi Negeri dipilih majoriti Ketua Cabang.

“Saya juga telah melantik Pengarah dan Pengerusi Biro terdiri dari barisan pelapis dan kalangan muda bagi menggalas tanggungjawab meneruskan agenda reformasi dan membela nasib rakyat,” kata Anwar.

PKR membuat perubahan apabila melantik Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Ia berbeza berbanding sebelum ini apabila Ketua-Ketua Cabang memilih seorang di kalangan mereka sebagai Pengerusi MPN.

Perubahan itu dibuat bagi membolehkan Timbalan atau Naib-Naib Presiden yang dilantik memimpin jentera parti bagi menghadapi PRU15. – MalaysiaGazette