Tangkap layar menunjukkan luahan seorang wanita yang diberikan tarikh janji temu salah untuk pengambilan sampel darah di sebuah klinik kerajaan di Kedah.

SUNGAI PETANI – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) memohon maaf dengan kejadian seorang pesakit didakwa telah diberi tarikh janji temu salah bagi pengambilan sampel darah untuk ujian makmal baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, JKNK memandang serius perkara itu dan siasatan awal mendapati, pengadu telah diberi tarikh janji temup pada 5 Ogos lalu yang jatuh pada hari Jumaat iaitu cuti hujung minggu di negeri terbabit.

Beliau berkata, bagaimanapun sampel darah sudah diambil dua hari selepas kejadian iaitu pada 7 Ogos lalu.

Dr. Othman Warijo

“Kita sudah menghubungi pengadu selain memohon maaf atas kesilapan yang berlaku  dan wanita itu menerima baik permohonan maaf berkenaan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kedah amat kesal dengan perkara ini sehingga menyebabkan pengadu berdepan kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Othman, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden agar langkah penambahbaikan dapat diambil bagi mengelakkan ia berulang.

“Penambahbaikan berterusan dan kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dalam menyampaikan perkhidmatan kepada seluruh anggota masyarakat,” ujar beliau.

Jumaat lalu, tular satu rakaman video berdurasi 2 minit 44 saat di aplikasi TikTok yang memaparkan kesulitan dihadapi seorang wanita susulan tarikh janji temu yang diberikan bagi pengambilan sampel darah di sebuah makmal di negeri ini, adalah salah. – MalaysiaGazette