Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU –  Kerajaan negeri Johor akan terus memantapkan aspek keselamatan melalui pelbagai inisiatif dalam agenda Johor Selamat bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagi menjayakan agenda itu, perolehan skuter elektrik dan van balai polis bergerak serta pondok polis turut dinaik taraf dalam membantu polis mengekalkan keamanan di Johor.

“Selain agensi keselamatan, empat pihak berkuasa tempatan (PBT) turut berperanan besar dalam membantu menjaga keselamatan awam untuk Greater Johor Bahru.

“Di bawah Inisiatif Bandar Pintar, setiap kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan Greater Johor Bahru sedang dan akan disambung ke sebuah ‘Command Center’ yang akan memantau seluruh bandar raya ini termasuk kawasan-kawasan tumpuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata, Command Center itu akan disambung terus kepada talian polis dalam usaha untuk mengurangkan kejadian kes jenayah, selain turut menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi melakukan proses cam muka serta cam kenderaan untuk memudahkan kerja-kerja siasatan dan aduan.

Katanya, tahap keselamatan yang tinggi akan menyediakan keadaan kondusif kepada pelabur dan pelancong dapat berlibur dengan tenang.

“Kesemua ini akan menjurus kepada peningkatan kewangan negeri untuk jangka masa panjang, yang akhirnya akan dimanfaatkan sendiri oleh Bangsa Johor,” katanya.-MalaysiaGazette