Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad menunjukkan produk tembakau (rokok) rentas sempadan melalui OPS Kontraban di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 15 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Kastam Diraja Malaysia menumpaskan percubaan penyeludupan rentas sempadan membabitkan minuman keras, produk tembakau, air mineral zam zam dan rokok berniali hampir RM1 juta dengan duti import berjumlah RM1.8 juta.

Kesemua rampasan itu dibuat menerusi empat serbuan berasingan menerusi operasi khas bermula 1 Mei hingga 31 Julai lalu di Pelabuhan Klang.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, dalam kes pertama, bertindak, atas maklumat risikan, pada 25 Mei lalu, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras yang disyaki mengelak duti import menerusi penahanan sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad bercakap kepada media mengenai kejayaan mematahkan sindiket penyeludupan minuman keras dan produk tembakau (rokok) rentas sempadan melalui OPS Kontraban di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2022.

Katanya, nilai rampasan minuman keras disyaki datang dari negara Asia Timur itu adalah berjumlah 23,496 liter bernilai RM136,000 membabitkan cukai berjumlah RM902,000 dan pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan arak berjenama Limbo di bawah Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

“Semakan modus operandi mendapati dagangan itu telah diikrarkan sebagai punching machine dan laser cutting machine dari negara jiran dan tidak mempunyai sebarang dokumen kelulusan pengimportan dan siasatan diteruskan.

“Dalam kes kedua pula, pada 8 Jun lalu jam lebih kurang 8 malam pasukan sama merampas sejumlah produk tembakau kunyah disyaki tidak berkastam dan barang larangan di bawah Butiran 1, jadual Ketiga Bahagian II Perintah Kastam(Larangan mengenai Import) 2017 dengan penahanan dua kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kontena berkenaan bersama wakil perkapalan berjaya menemukan produk tembakau kunyah berjenama Zarda dan Shimla Pan Masala seberat 667 kilogram dan bernilai RM42,000 membabitkan nilai cukai berjumlah RM58,640 disyaki diseludup masuk dari salah sebuah negara dari Asia Selatan,” katanya dalam sidang media di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad menunjukkan produk tembakau (rokok) rentas sempadan melalui OPS Kontraban di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2022.

Tambah beliau, semakan lanjut ke atas dokumen mendapati ia diisytihar sebagai barang isi rumah dari negara jiran manakala wakil perkapalan gagal mengemukakan dokumen berkaitan pengimportan dagangan tersebut yang disembunyikan di belakang kontena bersama selipar getah dan produk makanan sebagai mengkaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, pasukan penguatkuasa berkenaan seterusnya melakukan serbuan ketiga pada 6 petang 21 Jun jam dan berjaya menggagalkan percubaan menyeludup produk cecair disyaki air mineral berjenama Zam Zam Water yang dikategorikan sebagai barang larangan import dalam satu kontena di Pelabuhan Barat.

“Air zam zam yang dirampas itu seberat 27,000 liter bernilai RM601,260 dengan nilai cukai berjumlah RM180,380 yang mana hasil pemeriksaan lanjut mendedahkan ia diikrarkan sebagai barangan peribadi dari negara Timur Tengah dan wakil perkapalan juga gagal mengemukakan dokumen kelulusan pengimportan barang tersebut.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad bercakap kepada media mengenai kejayaan mematahkan sindiket penyeludupan minuman keras dan produk tembakau (rokok) rentas sempadan melalui OPS Kontraban di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 15 OGOS 2022.

“Siasatan awal juga mendapati air mineral tersebut juga dijual secara komersial melalui platform e-dagang secara dalam talian dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang mana mengimport air mineral tanpa permit import.

“Dalam serbuan terakhir yang dilaksanakan pada 18 Julai hingga 27 Julai lalu, pasukan penguatkuasa kastam berjaya mematahkan rantaian aktiviti menyimpan dan menjual barang tidak berkastam iaitu rokok dan arak anggaran bernilai RM152,000 membabitkan cukai berjumlah RM660,000 menerusi Op Kontraban II,” katanya.

Kata beliau, tangkapan dan rampasan berkenaan tertumpu di Lembah Klang yang dipercayai dibawa masuk secara haram melalui laluan laut dan darat ke dalam negara.

“Hasilnya kita berjaya menahan seramai 18 individu yang disyaki memainkan peranan di sebalik sindiket penyeludupan dan penyimpanan rokok dan minuman keras berkenaan dan sebanyak 30 kertas siasatan telah dibuka bagi tujuan pendakwaan oleh jabatan Kastam di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kesemua empat kes serbuan dan tangkapan itu yang disiasat kastam memperuntukkan hukuman denda minimum RM50,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahannya,” kata Mohammad Sabri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast