Azrul menunjukkan kawasan bukit berhampiran Taman Sahabat Indah, Teluk Kumbar sedang dibersihkan dioercayai bagi kerja-kerja pembinaan asrama warga asing.

TELUK KUMBAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz meminta campur tangan kerajaan Pulau Pinang dalam memastikan pembinaan asrama warga asing tidak dilaksanakan dalam kawasan Teluk Kumbar.

Jelas beliau, pembinaan enam blok asrama warga asing yang akan menempatkan 25,000 individu itu tidak sesuai dengan demografi penghuni sedia ada sekali gus menimbulkan satu ancaman besar buat penduduk setempat.

Kata Azrul, masalah sosial, isu kesihatan, punca pendapatan nelayan serta masalah kesesakan akan membelenggu penduduk bagi jangka masa panjang sekiranya pihak pemaju berkeras mahu laksanakan pembinaan asrama warga asing di sini.

Azrul.

“Setiap hari saya terima aduan dan panggilan daripada penduduk setempat berhubung isu ini yang mana mereka menyatakan ke bimbangkan dan meminta saya sampaikan suara mereka kepada kerajaan negeri.

“Saya sendiri sudah mengadakan perjumpaan empat mata dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar negeri, Jagdeep Singh Deo namun tiada sebarang kata putus diberikan susulan tanah itu merupakan tanah pemaju.

“Memandangkan banyak isu berbangkit timbul di sini, saya cadang campur tangan kerajaan negeri termasuk turun padang bersama pemaju bagi melihat serta mendengar luahan penduduk agar satu keputusan baik dapat diambil demi kebaikan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mengulas lanjut Azrul berkata, pihaknya tidak menentang kemajuan ekonomi Pulau Pinang namun biar ia bersesuaian.

Tegas beliau, aset yang paling penting bagi sesebuah negeri atau negara adalah rakyatnya melebihi daripada segalanya.

“Memang cadangan untuk pembinaan asrama warga asing bagus yang mana kita dapat tempatkan mereka satu kawasan untuk pemantauan.

“Namun, jangan kita nak selesaikan satu masalah (penempatan warga asing berselerak) kita timbulkan satu masalah yang lebih besar.

“Sehubungan itu, saya juga berharap mungkin kerajaan negeri boleh berbincang dengan pemaju untuk menggantikan tanah lain untuk dijadikan asrama berbanding kawasan sempit di Teluk Kumbar ini,” jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Pembinaan asrama warga asing : Suara penduduk Teluk Kumbar tidak dipedulikan?

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan tiga asrama pekerja asing akan dibina di Sungai Batu dengan keluasan 2.8 hektar dan di Teluk Kumbar, masing-masing dengan keluasan 4.78 hektar dan 1.4 hektar.

Ia bakal menempatkan kira-kira 30,000 sehingga 50,000 pekerja. – MalaysiaGazette