Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbincang sesuatu bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Persidangan Kemuncak Dasar kesihatan 2022 ketika di di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengimbau pengalaman beliau dilantik ke jawatannya itu pada tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Imbauan itu dikongsi menjelang detik-detik Ismail Sabri memimpin kerajaan selama setahun enam hari lagi itu apabila ia bermula dengan satu panggilan telefon oleh pemimpin itu.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memberitahu, beliau pada mulanya tidak tahu apa tujuan panggilan Ismail Sabri sama ada berita baik atau sebaliknya.

“Enam hari lagi, genaplah setahun Datuk Seri Ismail Sabri mengangkat sumpah Perdana Menteri Malaysia. Saya mewakili KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada beliau atas perkhidmatan dan kepimpinan dalam masa satu tahun yang sangat mencabar.

“Seminggu selepas pelantikan YAB (Yang Amat Berhormat) sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya telah menerima panggilan YAB. Panggilan itu mungkin ada dua makna. Berita baik atau berita kurang baik.

“Ada setengah PM hanya buat panggilan sekiranya orang yang dilantik itu tidak dilantik di Kabinet. Jadi saya tidak tahulah tujuan panggilan tersebut. Saya jawab.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap pada Persidangan Kemuncak Dasar kesihatan 2022 ketika di di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2022.

“YAB yang kenal saya sejak Ketua Pemuda UMNO sejak dahulu beliau panggil saya Ri sahaja. Hanya satu-satu individu yang panggil saya Ri.

“Ri, saya hendak hantar ke kesihatan (Kementerian Kesihatan) dan dengan itu beliau minta dan beri cabaran yang kecil kepada saya, awak tolong selesai Covid-19 ini. YAB sudah hampir dua tahun lebih berperang dengan Covid, bukan saya seorang dan YAB juga sebagai Menteri Kanan yang jaga MKN dari awal lagi, tapi saya yakin belum selesai, kita KMM dan rakyat di kepimpinan YAB kita sudah buat terbaik dan mula keluar daripada pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 atau Health Policy Summit 2022 di sini hari ini.

Turut hadir, Ismail Sabri yang merasmikan persidangan itu.

Pada 20 Ogos tahun lalu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri yang juga Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Sebelum dilantik sebagai TPM, Ismail Sabri adalah Menteri Kanan Pertahanan manakala Khairy adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast