Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman (kiri).

KUALA LUMPUR – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman dilantik sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) berkuatkuasa pada 22 Julai lalu.

Lantikan itu turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Semoga pelantikan ini akan menyerlahkan keterlihatan UKM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata university awam itu di hantaran Facebooknya.

Sebelum itu, Mohd. Ekhwan telah menerima kunjungan delegasi MPM diketuai Ketua Eksekutif MPM, Adnan Husin dan Timbalan Ketua Eksekutif 2, Badrul Hisham Abdullah yang menyerahkan surat lantikan itu.

Mohd Ekhwan Toriman dilantik Naib Canselor UKM berkuat kuasa 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.

Mohd Ekhwan, 53, adalah graduan UKM pada 1992 (Ijazah Am) dan 1993 (Ijazah Kepujian) dalam bidang Geografi (fizikal), Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.

Beliau seterusnya memperoleh Sarjana (MSc) dari University of Manchester serta Doktor Falsafah (PhD) dari University of Newcastle Upon Tyne UK dalam bidang Pemodelan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Pengurusan Sumber Air.

Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT serta jawatan pentadbiran dan akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). – MalaysiaGazette