Painah Siean dijumpai selamat oleh orang awam dan pihak berkuasa.

BATU PAHAT –  Kehilangan Painah Siean,79 warga emas yang hilang sejak Rabu lalu  akhirnya terjawab apabila dia ditemui selamat oleh dua orang awam pagi tadi.

MalaysiaGazette difahamkan individu berkenaan merupakan pengamal perubatan alternatif.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah dihubungi berkata, Painah  ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 11.25 minit pagi tadi.

“Warga emas itu dijumpai oleh dua orang awam yang turut bersama dalam operasi mencari yang disertai oleh 102 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta 20 orang kampung.

Painah Siean diselimutkan sebaik sahaja ditemui pagi tadi.


“Painah dijumpai dalam keadaan lemah berhampiran lopak air pada jarak 900 meter daripada pos kawalan operasi dan 1.4 km dari arah hadapan rumahnya.

“Turut dijumpai bersamanya sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut,” kata Ismail yang mengesahkan penemuan warga emas itu.

Walaupun Painah dalam keadaan stabil, dia dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dengan menaiki ambulans untuk rawatan selanjutnya.

Kehilangan Painah mendapat perhatian ramai apabila dia dilaporkan hilang selepas  keluar ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang, di sini, Rabu lepas.

Anaknya mendakwa Painah keluar rumah pada jam 3.30 petang dan tidak pulang ke rumah selepas itu.

Susulan itu, operasi dilancarkan untuk mengesan Painah. – MalaysiaGazette