Mohd Apandi Mohamad

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Negara tengah hari ini diserikan pantun berkaitan Kapal Tempur Pesisir (LCS) daripada Senator Mohd Apandi Mohamad (Kelantan).

Beliau memulakan sesi perbahasan usul Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Eksais 1976 (Akta 176) dengan serangkap pantun: Littoral Combat Ships kejutan baru, seluruh negara haru biru, kalau semangay negara tak menentu, tunggu PRU rakyat palu.

Bekas Ahli Parlimen Jeli itu cuba mengingatkan kerajaan supaya ada kesungguhan dalam memastikan segala ketirisan dan kebocoran yang disebabkan rasuah dapat ditangani dengan baik serta tegas.

Katanya, dalam soal kapal LCS itu, krisis kepercayaan rakyat kepada kerajaan mula rapuh dan gagal mengatasinya dengan baik sehingga negara dilihat haru biru.

“Saya cuma nak mengingatkan kerajaan kena berhati-hatilah, kalau boleh selepas ini kena ada kesungguhan di pihak kerajaan nak pastikan ketirisan dan kebocoran ini boleh diselamatkan ke tahap maksimum.

“Isu LCS sudah jadi haru biru, memeningkan semua rakyat. Rakyat mahu sebuah kerajaan yang selamat dan dapat menjimatkan wang mereka daripada sebarang ketirisan,” katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, rakyat juga mahu lihat indeks ketelusan rasuah semakin bertambah baik di kaca mata dunia bagi memudahkan sebarang bentuk pelaburan baharu masuk ke negara ini.

Mohd Apandi juga turut mencadangkan supaya pihak kerajaan lebih ke hadapan dalam menyediakan undang-undang baharu bagi setiap pindaan pada akta-akta tertentu.

Beliau memberi contoh, Akta Kastam 1967 dipinda sembilan tahun selepas itu dengan menjadikan Akta Eksais 1976.

“Kita tengok undang-undang ciptaan manusia ini tidak boleh kekal lama. Ini dengan jelas kita membicarakan (membahaskan) Akta Kastam 1967.

“Dalam kita melaksanakan apa jua perkara yang berkaitan dengan Akta Kastam 1967, ia ada perkara baru timbul. Ada insiden baru timbul. Ada perkembangan dalam negara dan luar negara timbul.

“Dengan itu, kerajaan memperkenalkan akta baharu untuk mengasingkan supaya akta berkenaan boleh, walaupun asalnya berada di bawah Akta Kastam apabila sekarang ini kerajaan menerbitkan terbitan daripada Akta Kastam kepada Akta Eksais 1976,” katanya.

Beliau menjelaskan, dalam tempoh sembilan tahun (Akta Kastam 1967 kepada Akta Eksais (1976) sudah berlaku pergerakan dan anjakan baharu.

“Inilah sifat kelemahan manusia kerana tidak boleh membaca sembilan tahun akan datang. Kalau ia boleh membaca, menjadikan akta itu boleh berkuatkuasa melebihi daripada sembilan tahun,” katanya. – MalaysiaGazette