Pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Permatang Bertam, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Seorang pekerja kilang maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Permatang Bertam di sini, hari ini.

Kejadian jam 8 pagi itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 40 tahun maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala seorang lagi penunggang turut mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, kedua-dua mangsa bertembung sesama sendiri sebelum seorang daripada mereka maut di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Perai dikatakan bertindak memotong sebuah kenderaan yang berada di hadapannya.

“Bagaimanapun, selepas memotong kenderaan itu, dia bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang remaja berusia 18 tahun.

“Mangsa maut dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat manakala mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette