Seramai 13 individu antaranya ahli politik, penganjur dan mahasiswa yang dikesan menyertai Protes mana Kapal LCS di hadapan Sogo di ibu negara pada Ahad akan hadir memberi keterangan kepada polis pada Rabu ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 orang individu, termasuk penganjur, ahli politik dan mahasiswa, yang dikenal pasti menyertai ‘Protes Mana Kapal LCS di hadapan pusat beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada Ahad lalu akan diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua yang terbabit telah dihubungi dan kertas siasatan berkaitan perhimpunan itu telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa kebenaran.

“Mereka 13 orang itu akan datang serentak dan akan diambil keterangan bermula jam 3 petang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Dalam kenyataan berkaitan protes itu petang semalam, Noor Dellhan mengesahkan bahawa pihaknya terkesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 diadakan di hadapan kompleks membeli belah Sogo, di ibu negara.

Katanya, hasil daripada pemerhatian yang dibuat pasukan polis di lokasi berkenaan mendapati seramai lebih kira-kira 60 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa, ahli parti politik, beberapa individu berhimpun mengadakan perhimpunan “Protes Mana Kapal LCS sambil memegang beberapa plakad dan kain rentang bertulis “Keselamatan Negara Terancam Kesiagaan TLDM Terjejas”, “H2O letak jawatan”, “Siasat di mana kapal!” dan “Mana Kapal LCS”.

Dalam protes yang diadakan bermula 2 petang itu, antara pemimpin parti politik yang dilihat hadir ialah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Naib Ketua Pemuda Amanah Abas Azmi; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan; Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi serta aktivis, Siti Kassim. – MalaysiaGazette