Hamdan menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 kepada Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti kira-kira 30 peratus daripada 8,300 premis di seluruh negara termasuk bangunan kerajaan tiada sijil perakuan bomba (FC).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, data itu diperoleh hasil pemeriksaan terhadap 8,300 premis yang diperuntukkan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (pindaan 2020) (Akta 341).

Jelas beliau, ia berlaku sama ada masih belum diluluskan, dalam proses pematuhan atau gagal memenuhi kehendak kebombaan mengikut Akta 341.

Hamdan.

“Antara aspek yang tidak dipatuhi pemilik premis terbabit ialah tiada penyelenggaran tetap, pengubahsuaian yang tidak mengikut peraturan serta gagal memenuhi keperluan teknikal.

“Ada dalam kalangan pemilik premis terbabit sedang dalam proses pendakwaan dan ada yang sudah didakwa namun ia bukan bertujuan untuk menghukum sebaliknya memastikan bangunan berkenaan berada dalam keadaan selamat.

“Kita tidak mahu aspek keselamatan terabai yang boleh meragut nyawa penghuni atau pengunjung premis selain kehilangan nilai aset yang tinggi,” katanya.

Mohammad Hamdan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 JBPM Pulau Pinang di Hotel Raia di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 64 orang pegawai dan kakitangan JBPM menerima sijil APC 2021 masing-masing dengan penganugerahan itu dinilai melalui proses yang telah digariskan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012.

Hamdan menyampaikan sijil kepada pesara bomba, Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Hamdan turut memuji langkah kerajaan dalam meningkatkan sistem keselamatan kebakaran membabitkan 46 hospital awam di seluruh negara.

“Sebanyak 46 hospital dalam negara dikategorikan sebagai bangunan yang ditetapkan (designated building) namun sudah ada gerakan untuk menambah baik dan juga memastikan sistem itu dipatuhi.

“Pihak Kementerian Kesihatan bersama Jabatan Kerja Raya serta agensi teknikal yang lain mengambil langkah untuk upgrade sistem bagi mematuhi keperluan keselamatan kebakaran di hospital awam seluruh negara

“Saya lihat ini satu gerakan yang amat baik kerana kita nak pastikan pengguna, penghuni, pesakit serta pelawat hospital selamat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, 122 daripada 731 bangunan di Pulau Pinang termasuk kilang dan hotel belum memperoleh FC dan negeri berkenaan antara negeri yang aktif melaksanakan program berkaitan pemeriksaan keselamatan bangunan. – MalaysiaGazette