voting anti-party hopping law

KUALA LUMPUR – Warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai lalu serta pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau status diminta melakukan semakan nama dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai Tahun 2022 (DPT BLN7/2022).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, DPT BLN7/2022 yang telah diperaku pada 15 Ogos lalu dan diwartakan hari ini, dibuka selama 30 hari mulai hari ini hingga 14 September depan untuk semakan.

“DPT BLN7/2022 ini mengandungi nama bagi 40,989 orang warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 13,481 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,116 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN7/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Awal bulan ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, pemilih berdaftar terkini yang diwartakan SPR berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu, berjumlah 21,113,234 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast