Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

PUTRAJAYA – Mara Corporation (MARA Corp) diminta menganjur lebih banyak program yang melibatkan penyertaan golongan belia pada setiap hujung minggu di Mara Digital Mall.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program seumpama itu akan dapat mempromosikan lagi pusat beli-belah tersebut dan pada masa yang sama menarik penglibatan generasi muda khususnya golongan Bumiputera untuk berniaga di situ.

Katanya, Mara Corp boleh melaksanakan program itu dengan kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya nak syorkan kepada Mara Corporation kalau boleh hujung minggu minta kerjasama  DBKL tutup jalan di depan Mara Digital. Boleh buat macam-macam program dengan anak-anak muda. Tapi itu kena ada kerjasama di antara DBKL dengan Mara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah mengarahkan Mara meneruskan projek Mara Digital Mall bagi membuka peluang kepada anak muda bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi (IT).

Selepas mengadakan lawatan mengejut, Ismail Sabri mendapati peniaga mampu meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat.

Sementara itu Mahdzir berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memperincikan syor tersebut.

Untuk rekod, Mara Digital Mall dicetuskan oleh Ismail Sabri semasa beliau menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2015. – MalaysiaGazette

Teruskan projek Mara Digital – PM