PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan akhir sabitan salah dan hukuman kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta terhadapnya.
Keputusan itu dibuat selepas lebih dua setengah jam penangguhan oleh panel hakim sebelum disambung semula sekitar jam 1 petang tadi.
Lima panel hakim yang diketuai oleh Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara sebulat suara menolak dengan memutuskan bukti yang cuba dikemukakan oleh Najib sebagai tidak relevan.
Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman berkata, Najib telah gagal untuk menunjukkan hakim bicara yang telah menjatuhkan hukuman terhadapnya iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai sebarang konflik kepentingan berhubung peranannya dalam Maybank Group.
Dalam pada itu, peguam utama pasukan pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik telah membuat permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan supaya pihaknya dapat kembali dengan banyak fakta serta hujahan bernas.
“Saya secara ikhlas ingin merayu supaya kami diberikan peluang ini, supaya keadilan ini dapat ditegakkan. Tolong beri kami peluang,” katanya sebentar tadi.
Tun Maimun kemudian meminta pandangan pasukan pendakwaan yang mana Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bangkit bangun dan memberitahu mahkamah ianya terpulang kepada panel hakim untuk membuat keputusan permohonan penangguhan itu.
Mahkamah ditangguhkan sebentar sekali lagi ketika sebelum panel hakim menyampaikan keputusan mereka untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir yang sepatutnya sudah bermula hari ini ditangguhkan sehingga 3 atau 4 bulan. -MalaysiaGazette