Dr. Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sentiasa komited memastikan murid mempunyai minat dalam mata pelajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada peringkat sekolah rendah dan menengah

Timbalan Menteri II, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, dalam hal itu, kementeriannya memberi tumpuan kepada aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam dan luar bilik darjah.

Pada masa sama, katanya, penerapan elemen Sekolahku Sejahtera seperti eksplorasi dan artikulasi menjadi fokus untuk menyediakan peluang kepada murid mencipta idea baharu dan meningkatkan kemahiran dalam bidang STEM.

“Aktiviti PdP berkaitan bidang STEM dioptimumkan melalui pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran berasaskan inkuiri dalam konteks dunia sebenar.

“Aktiviti ini diberi penekanan dalam Projek Bimbingan Eksekutif STEM (STEMEC) bagi menghasilkan pembelajaran bermakna.

“Bahan sokongan bagi pelaksanaan aktiviti di bawah Projek STEMEC turut disediakan dalam bentuk modul e-pembelajaran iaitu Modul Pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) STEM Bersepadu yang mengandungi video, bahan bacaan, garis panduan dan contoh aktiviti,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Mah berkata, aktiviti PdP berkaitan STEM khususnya dalam amali Sains lebih mudah difahami dan menyeronokkan apabila dilaksanakan di luar bilik darjah.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan berusaha memastikan Makmal Sains di setiap sekolah lengkap dan selesa bagi tujuan tersebut.

“Pada masa ini, sebanyak 1,216 Makmal Sains telah siap diubah suai dan naik taraf.

“Kementerian ini juga turut berusaha untuk meningkatkan kompetensi dan kebolehan guru dalam pendekatan PdP menerusi program pembangunan profesionalisme guru.

“Antara program pembangunan profesionalisme guru yang dilaksanakan termasuklah Pendidikan Sains, Matematik dan Sains Komputer Berasaskan Inkuiri serta Projek STEMEC,” katanya.

Di samping itu, kata Dr. Mah lagi, kementerian juga menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), institusi pendidikan tinggi serta sektor swasta bagi memastikan pendidikan dalam mata pelajaran bidang STEM menarik dan menepati keperluan semasa. – MalaysiaGazette