Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan didakwa tidak bercakap benar apabila menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘menipu’ berhubung kenyataan dia sudah mengadakan pertemuan bersama pemimpin Perikatan Nasional (PN) dua minggu lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kenyataan Wan Saiful sebagai tidak sopan apabila menuduh Perdana Menteri menipu.

Beliau menegaskan Ismail Sabri bukan sahaja telah bertemu dengan empat wakil PN yang berada dalam Kabinet, malah Perdana Menteri juga telah bertemu dengan Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Katanya, Perdana Menteri mungkin mempunyai sebab tertentu untuk tidak menghebohkan pertemuan tersebut.

“Harus diingat tiga daripada empat yang dikatakan wakil PPBM (Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Datuk Seri Samsuri) adalah anggota jemaah menteri yang setiap minggu berjumpa dan bersama Perdana Menteri.

“Justeru pertemuan bukanlah sesuatu yang terlalu sulit dan perlu dihebohkan dalam media.

“Pengerusi PN,  Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berjumpa Perdana Menteri baru-baru ini tanpa sebarang publisiti. Itulah sebaiknya. PM mungkin mempunyai sebab tersendiri kenapa beliau tidak mahu membesar-besarkan soal perjumpaan,” tegas Annuar.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu mengingatkan Wan Saiful bahawa rakyat
tidak suka bila pemimpin dilihat tidak habis-habis bercakap tentang jawatan tanpa mengira ketika dan keadaan.

Walaupun ia bukan satu kesalahan tetapi adalah tidak wajar soal kedudukan dan jawatan dibangkitkan ketika rakyat sedang bergelut untuk hidup berikutan kenaikan kos dan tekanan inflasi yang perlu diurus dan diberi keutamaan oleh kerajaan.

“Saya percaya pertemuan antara pemimpin sering dan akan sentiasa diadakan. Dalam keadaan sekarang ini ia akan menjadi sangat afdal jika digunakan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah rakyat daripada dijadikan medan untuk menekan dan menuntut sesuatu yang tidak dialu-alukan oleh rakyat.

“Dalam politik, bertindak secara berhemah dan penuh kebijaksanaan lebih berkesan dari semata-mata mahu dilihat berani,” kata Annuar.

Dalam kenyataannya semalam, Wan Saiful mempersoalkan mengapa Ismail Sabri seakan takut untuk berjumpa dengan pemimpin dalam kerajaan gabungan yang sama.

Beliau malah menuduh Ismail Sabri sebagai penipu dan tidak beradab apabila menyatakan telah melakukan pertemuan dengan deligasi PN.

“Kalau setakat jumpa waktu lunch (makan tengah hari) itu bukan perjumpaan rasmi yang sepatutnya.

“Bagi saya kenyataan Ismail Sabri Yaakob mendakwa telah bertemu delegasi PN adalah penipuan dan tidak beradab,” katanya.

Bersatu ketika ini menuntut supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diserahkan kepada pemimpin parti itu.-MalaysiaGazette

PM jumpa waktu lunch, itu bukan perjumpaan rasmi – Wan Saiful

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. So Saiful ni Timbalan Rapiji..dia yg tulis manifesto pembohong PH hari tu…so DNA pembohong dan pemfitnah mmg dah sebati dgn mamat ni

Comments are closed.