KUANTAN – Usaha mencari dan menyelamat oleh pasukan penyelamat bagi mengesan kanak-kanak lelaki yang dipercayai lemas di Sungai Triang dekat sini masih diteruskan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Zulfadli Zakaria berkata, operasi mencari hari kedua menggunakan bot fiber diluaskan dalam radius tiga kilometer hari ini menemui pelampung dipercayai tiub tayar.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Nik Ikmal Shah Ismail, 15 dan Muhammad Danial Isryad Norazlan, 11, yang masing-masing merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong.
“Pencarian mengunakan bot fiber BBP Triang adalah sejauh tiga kilometer (km) di mana anggota menjumpai pelampung (tiub tayar) yang dipercayai digunakan oleh mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Zulfadli, bomba meneruskan operasi hari ini sehingga pukul jam 6 petang dan akan disambung pada hari ketiga esok.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bera belum menemui kedua-dua mangsa sehingga petang SAR hari kedua.
“Seramai 20 petugas bomba termasuk dua angjing K9 dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Pahang dikerahkan dalam operasi menyelamat,” katanya.
Berdasarkan makluman awal, seorang daripada mereka dihanyutkan arus sebelum seorang lagi rakan cuba menyelamatkannya namun kedua-dua mereka kemudian hilang akibat arus deras.
Difahamkan mangsa dipercayai mandi menggunakan pelampung tayar tetapi pelampung itu dikatakan terlepas daripada pegangan mereka berikutan arus deras.
Ada saksi yang melihat mangsa terkapai-kapai dihanyutkan arus sebelum dipercayai lemas sekitar pukul 4.30 petang semasa insiden itu. – MalaysiaGazette