KUALA LUMPUR – Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) telah mengesahkan penarafan MARC-2IS terhadap program Kertas Komersial Islamik (ICP) yang dikendalikan Bina Darulaman Berhad (BDB) untuk tahun kelima berturut-turut.
Dalam semakan penarafan terkini yang dikeluarkan bulan ini, agensi penarafan tersebut menyatakan semakan tersebut merangkumi bank tanah BDB yang tersedia untuk pembangunan hartanah, kecairan yang mencukupi bagi memenuhi komitmen jangka pendek operasi dan kewangan, aliran pendapatan yang stabil dari kontrak penyelenggaraan jalan dan peningkatan dalam buku pesanan pembinaannya.
Agensi tersebut turut menyebut status BDB sebagai entiti milik kerajaan Kedah sebagai pertimbangan penarafan yang utama di mana ia meletakkan syarikat itu dalam kedudukan yang baik untuk mendapatkan kontrak-kontrak pembinaan di bawah kerajaan negeri.
MARC menambah, penarafan jangka panjang boleh dipertingkatkan sekiranya terdapat penambahbaikan yang signifikan dalam skala operasi dan keberuntungan dan pada masa yang sama, mengekalkan kedudukan leverajnya yang sederhana.
Mengulas tentang perkembangan positif itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, semakan MARC memperakukan strategi pengurusan BDB dan pelaksanaannya dalam mewujudkan model perniagaan yang mapan untuk syarikatnya serta menjana nilai jangka panjang bagi para pemegang saham.
“Pelaksanaan dan penyampaian pelan pemulihan BDB yang diwujudkan untuk menangani situasi operasi yang amat sukar ekoran pandemik COVID-19 adalah sebab utama mengapa kumpulan ini tampil dengan asas kewangan dan operasi yang kukuh pada 2022,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kunci kepada kejayaan BDB adalah menstabilkan pendapatan, mengoptimumkan kos, memaksimumkan kecekapan operasi, digitisasi dan pembangunan sumber manusia merentasi kumpulan berkenaan yang seterusnya membangkitkan semula kecekapan dan dinamisme syarikat tersebut.
Mohd Iskandar Dzulkarnain menambah, BDB komited meneruskan imbangan semula dan mengoptimumkan operasi perniagaan dalam memastikan kesinambungan dan daya tahannya.
“Daya tahan, fokus dan keazaman kami telah membuktikan apa yang mampu dicapai oleh kumpulan ini apabila kami bangkit dari pandemik menuju ke situasi perniagaan yang lebih baik.
“Normalisasi rantaian bekalan dan operasi perniagaan yang kembali seperti biasa akan menangani permintaan yang terpendam untuk barangan dan perkhidmatan.
“Perniagaan teras BDB iaitu pembangunan hartanah dan kejuruteraan, pembinaan dan kuari (ECQ) dalam kedudukan yang tepat untuk memaksimumkan peluang perniagaan dalam iklim perniagaan yang semakin baik ini,” jelasnya.
Menurut beliau, bahagian hartanah BDB akan memberi tumpuan terhadap usaha membuka potensi nilai bank tanahnya dengan membangunkan perbandaran-perbandaran sedia ada dan membina perbandaran rumah mampu milik bersama rakan-rakan kongsinya.
“Pada masa yang sama, ECQ akan terus memperkukuhkan aliran pendapatan stabilnya daripada projek-projek penyelenggaraan jalan negeri yang sedang dilaksanakan dan menambah baik permintaan terhadap operasi kuarinya,” katanya.
Mohd Iskandar Dzulkarnain berkata, tahun depan, BDB menyasarkan untuk mendapatkan kontrak dan peluang perniagaan baharu di luar Kedah bagi menambah baik profil risikonya.
“Sasaran itu akan dicapai menerusi komitmen berterusan kumpulan ini terhadap analisis yang mantap dan proses membuat keputusan yang berkaitan dengan pelaburan projek dan penyampaian operasi,” jelasnya. – MalaysiaGazette