Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia , Abdul Halim Husin bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Transpasik (CPTPP) di di Anjung Melayu Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 OGOS 2022

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) menggesa kerajaan mengkaji semula syarat kelayakan kontraktor bumiputera dari 51 kepada 100 peratus dalam perolehan semua kementerian sebelum Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) diratifikasi September ini.

Presiden MTEM, Abd Halim Husin berkata, syarat itu perlu diubah bagi memastikan kuota 30 peratus kepada syarikat yang berstatus 100 peratus bumiputera layak untuk diberikan kontrak melalui perolehan kerajaan.

“Kuota 30 peratus peruntukan yang diberikan kepada Melayu sepatutnya dinilai semula supaya semua keistimewaan ini akan terus dinikmati oleh rakyat berbangsa Melayu dan bumiputera dan tidak berlaku lagi ketirisan.

“Kajian kami pada 2017 mendapati 30 peratus peruntukan  yang disediakan kepada syarikat bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan (SOE) dalam perolehan kerajaan, hanya sembilan peratus sahaja dinikmati kontraktor yang layak.

“Ini ketirisan yang amat serius. Kerajaan perlulah memastikan syarikat yang menyertai tender kerajaan ini bukan lagi 51 peratus status bumiputera dan 49 peratus lagi ekuitinya dimiliki bukan bumiputera ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di Anjung Melayu hari ini.

Tambah Abd Halim, kerajaan perlu menyedari sekiranya syarat itu tidak dikaji semula, peluang syarikat bumiputera untuk bersaing bukan sahaja dalam pasaran tempatan bahkan dalam kalangan negara anggota CPTPP bakal terjejas.

“Jika status 100 peratus bumiputera itu tidak dijaga, ketirisan akan terus berlaku dalam perolehan kerajaan dan kuota 30 peratus itu terus dimanfaatkan oleh syarikat milik bukan Bumiputera melalui 51:49 pegangan ekuiti,” katanya.

Tambahnya, pengusaha Melayu dan bumiputera hanya mempunyai tempoh sekurang-kurangnya tujuh tahun lagi untuk menguasai kuota 30 peratus dalam perolehan kerajaan sekiranya syarat kontraktor itu dikaji semula.

“Kita ada tujuh tahun sahaja lagi untuk memperkasakan pengusaha-pengusaha Melayu. Kita berharap akan mendapat keutamaan dari segi dana dan bantuan kerajaan untuk memperkuatkan industri dan institusi berkaitan dengan Bumiputera sebelum CPTPP diratifikasi pada September ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette