Sejumlah dadah jenis syabu dan ganja yang dirampas dari penjawat awam di tepi jalan Pandan Indah selepas ditahan awal pagi tadi.Ihsan IPD Ampang Jaya

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam ditahan sepasukan polis di Pandan Jaya, Ampang, dekat sini, awal pagi ini kerana disyaki memiliki dadah.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, individu terbabit ditahan oleh Team Task Force Pencegahan Jenayah Balai Polis Pandan Indah kira-kira jam 3.50 pagi dalam operasi rondaan cegah jenayah.

“Suspek berusia 37 tahun itu ditahan di tepi jalan Pandan Indah dan hasil pemeriksaan lanjut pihak polis terhadap individu terbabit berjaya membawa kepada penemuan lima paket dadah jenis syabu seberat 6.95 gram dan satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat 3.46 gram.

“Semakan lanjut pihak polis mendapati individu itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah namun tiada dalam senarai individu dikehendaki polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek turut dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum keputusannya mendedahkan positif dadah jenis ‘Meth’ dan ‘Amp’.

Jelas Mohamad Farouk, suspek terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. -MalaysiaGazette