Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama BigPay menganjurkan Kempen Merdeka With BigPay! sempena bulan kemerdekaan ini.

Kempen itu diadakan bertujuan untuk menggalak dan memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN di samping berpeluang memenangi ganjaran istimewa.

Ia juga merupakan tanda keprihatinan PTPTN dan BigPay bagi menghargai para peminjam yang komited membuat bayaran balik pinjaman PTPTN.

Kempen Merdeka With BigPay! ini terbuka kepada semua pengguna aplikasi BigPay yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN di dalam tempoh kempen iaitu bermula 15 Ogos 2022 hingga 30 September 2022.

Melalui kempen ini, pelanggan yang menggunakan aplikasi BigPay untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN akan berpeluang menerima pemberian ganjaran.

Bagi bayaran balik pinjaman minimum RM2,000 secara one-off menggunakan, pelanggan akan mendapat RM50 cashback dan 6x mata ganjaran yang akan dikreditkan ke e-wallet BigPay

Ia membabitkan 100 pengguna terawal setiap bulan (Ogos dan September).

Selain itu, bayaran balik pinjaman minimum RM200 melalui potongan debit secara berturut-turut pada bulan Ogos dan September menggunakan BigPay.

Pelanggan berpeluang memenangi tiket penerbangan domestik bernilai RM200 untuk 20 pemenang

Setiap pengguna layak menerima pemberian ganjaran sekali sahaja untuk setiap kategori.

Pemenang kempen akan diumumkan melalui media sosial BigPay.

PTPTN berkata, pemenang akan menerima mata ganjaran dan cashback dalam tempoh 30 hari setelah tamat kempen.

Selain itu, pemenang ganjaran tiket penerbangan domestik perlu menghubungi Bahagian Pemasaran BigPay.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen bayaran balik pinjaman PTPTN secara online atau melalui aplikasi mudah alih ini adalah platform terbaik mendekatkan golongan belia dengan PTPTN.

Ia kerana, generasi ini lebih cenderung dalam penguasaan teknologi terutama kemudahan digital yang memberi manfaat kepada mereka.

Malah, BigPay yang telah bekerjasama dengan PTPTN sejak tahun 2018, sentiasa menyokong usaha PTPTN dalam menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman dengan konsisten selain menjayakan agenda pendigitalan yang dihasratkan kerajaan.

PTPTN amat menggalakkan sekiranya terdapat badan korporat yang ingin berkolaborasi melaksanakan kempen sebegini bersama PTPTN.

”PTPTN berharap dengan kempen ini akan memberi peluang dan memudahkan para peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui BigPay.

”Komitmen peminjam membuat bayaran balik amat bermakna demi kesinambungan pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast