KUALA LUMPUR – UMNO sebagai sebuah parti politik terbesar orang Melayu dan umat Islam di negara ini tidak boleh terpisah dengan nilai-nilai agama.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada Disember 2019, UMNO telah meminda Fasal 3 Perlembagaan parti dengan meletakkan Islam di hadapan bagi asas dan tujuan dalam perjuangannya.
Menurut beliau, pindaan itu amat selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan bagi negara ini.
“Namun tanpa sedikit pun menafikan hak kebebasan bukan Islam daripada mengamalkan agama masing-masing,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Ahmad Zahid menambah, UMNO harus istiqamah dalam sebarang tindakan yang dilakukannya ketika ini.
Beliau turut menasihatkan para pemimpin dan ahli UMNO agar terus menerus memohon hidayah Allah dengan niat yang jujur dan ikhlas demi agama, bangsa dan tanah air.
“Menggunakan politik untuk memperkuatkan agama. Bukan mempergunakan agama untuk memperkuatkan politik.
“Insya-Allah UMNO akan terus dijaga oleh Allah selagi mana pendokongnya menjaga apa-apa yang dituntut Allah,” katanya. – MalaysiaGazette