ROSNI (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada Lim Sze Ling pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Negeri Melaka 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung, Melaka petang tadi.

MELAKA – Seramai 33 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di negeri ini memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Rosni Leman berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.55 peratus berbanding hanya 28 calon tahun sebelumnya.

Menurutnya, daripada 1,147 calon yang mendaftar, hanya seramai 1,131 yang hadir dan menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2021.

“Daripada 98.61 peratus yang menduduki STPM seramai 2.92 peratus memperoleh PNGK 4.0, meningkat berbanding hanya 28 calon tahun sebelumnya.

“Peratusan calon STPM yang lulus penuh lima dan empat mata pelajaran pula adalah seramai 1,109 calon atau 99.03 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Negeri Melaka 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung, di sini, petang tadi.

Menurutnya, Gred Purata Negeri STPM 2021 adalah 2.85 manakala Gred Purata Peringkat Nasional pula 2.79 mata dan daripada 17 sekolah, 11 merekodkan kelulusan penuh 100 peratus.

Malah katanya, seorang calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Sebang Lim Sze Ling, termasuk antara 10 pelajar terbaik peringkat kebangsaan. – MalaysiaGazette