Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Agenda kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan bagi Barisan Nasional (BN) berbanding perkara-perkara lain termasuk isu-isu politik.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, komponen parti itu tidak meletakkan politik sebagai prioriti apatah lagi jika isu-isu politik tidak ada hujung pangkal.

“Bagi BN Pahang, kita sekarang memang fokus buat kerja bantu kebajikan rakyat. Elok buat kerja dulu daripada bercakap pasal politik tidak ada hujung pangkal,” katanya.

Menteri Besar Pahang berkata itu demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Pengarah Pilihan Raya Pas Pahang, Hamdan Abdullah yang memaklumkan parti itu sudah menyenarai pendek beberapa kerusi Parlimen dan lebih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi dimenangi parti itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Hamdan mendakwa Pas yakin pengundi sudah bersedia bertukar kerajaan berdasarkan kedudukan sokongan semasa dan gelombang rakyat untuk memberi peluang kepada parti itu mentadbir Pahang.

Mengulas kenyataan itu, Wan Rosdy berkata, beliau enggan melayan kenyataan itu kerana kebajikan rakyat adalah fokus kerajaan negeri.

“Lagipun, pada pandangan saya, kita pun tidak tahu bila masanya (pilihan raya), benda jauh lagi.

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jelai merasmikan Program Rumah Rakyat Pahang di Kuantan. MalaysiaGazette