Empat pemancing ditemui terselamat setelah mengalami detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pulau Tengah di Mersing petang semalam.

MERSING – Empat pemancing ditemui terselamat setelah mengalami detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pulau Tengah di sini petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Bin Misran berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima aduan daripada pengurus sebuah resort berkenaan memaklumkan terdapat empat pemancing rakyat tempatan terkandas tersebut kira-kira pukul 5 petang kerana bot yang dinaiki terbalik akibat cuaca buruk.

“Sejurus menerima maklumat, bot Perkasa 44 dari Zon Maritim Mersing telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mangsa terlibat adalah Faizal Bin Dollah, 43, Mohamad Fairuz Daron, 35, Mohd Rizal Hassan, 34, Mohamad Asyraf Ali, 33 dan kesemuanya berasal dari Mersing.

Kesemua mereka ditemui dalam keadaan selamat serta tiada kecederaan dilaporkan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Teluk Gading untuk pemeriksaan kesihatan.

Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut yang bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

“Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Amalkan langkah keselamatan semasa berada di laut dengan memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Located Beacon bagi memudahkan pihak APMM mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast