Lima lelaki dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret Kuala Lipis hari ini atas pertuduhan menceroboh pusat tahfiz dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang guru tahfiz dalam kejadian 11 Ogos lalu.

KUANTAN – Lima lelaki dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret di Lipis hari ini atas pertuduhan menceroboh pusat tahfiz dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang guru tahfiz dalam kejadian 11 Ogos lalu.

Kelima-lima tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38, Zulkifli Mohd Nasir, 27, Azraen Che Mat Noor, 43, Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, Rizuwan Hazmi, 47 mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam, Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam penghakimannya, Siti Aisyah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara daripada tarikh mereka ditangkap.

Mengikut fakta kertas pertuduhan, pada 11 Ogos lalu, kelima-lima tertuduh didapati bersalah dengan niat telah melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras pukul 5.10 petang.

Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memutuskan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM2,000 serta tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda kepada kelima-lima tertuduh.

Dalam pada itu, tiga tertuduh, Wan Haris, Zulkifli dan Azraen didapati telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, yang merupakan seorang guru di lokasi dan waktu yang sama.

Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh lapan bulan penjara dan denda RM1, 000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast