Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan (tengah) menunjukkan botol minuman keras yang dirampas pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya melumpuhkan sindiket pengilangan minuman keras tidak berlesen di Kompleks Kastam Kargo KLIA Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 OGOS 2022.

SEPANG – Seramai empat orang pekerja lelaki warga asing ditangkap ketika memproses minuman keras tanpa lesen di sebuah gudang di Batu Arang, Selangor, pada 21 Julai lalu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan, tiga daripadanya adalah warga Bangladesh manakala seorang lagi warga Kemboja berusia dalam lingkungan 24 tahun hingga 37 tahun, dan hanya seorang sahaja yang mempunyai dokumentasi sah.

Ia susulan daripada operasi JKDM Zon Tengah, Unit III (LTAKL) yang berjaya melumpuhkan sindiket itu menerusi serbuan di dua lokasi berasingan di Selangor.

“Dalam serbuan yang dilakukan pada 21 Julai lalu, Kastam berjaya menyita minuman keras pelbagai jenama yang tidak bereksais sebanyak 5,876 liter”

“Barang rampas di gudang pertama dianggarkan bernilai RM414,891.94. dan duti yang terlibat sebanyak RM462,105.59”

“Dalam pada itu, Kastam turut menyita peralatan pemprosesan minuman keras seperti mesin memproses bahan mentah, tong-tong berisi cecair alkohol, botol-botol kosong, penutup botol, label, kotak dan setem cukai Kastam palsu yang dianggarkan bernilai RM50,000” kata Zazuli dalam sidang media di Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Susulan serbuan pertama, Kastam kemudian menyerbu sebuah gudang dipercayai dijadikan tempat menyimpan minuman keras pelbagai jenama tidak bereksais di Puncak Alam, Selangor, pada hari yang sama.

“Kastam telah menyita kesemua minuman keras sebanyak 22,355.08 liter di lokasi terbabit yang dianggarkan bernilai RM1 juta dengan anggaran jumlah duti terlibat sebanyak RM1.4 juta.”katanya.

Sindiket pengilangan minuman keras tanpa lesen ini bernilai RM3.4 juta termasuk barang kes dan cukai.

Berdasarkan siasatan yang dilakukan, sindiket itu telah beroperasi selama enam bulan dalam pasaran tempatan.

”Modus operandi kedua-dua kes ini ialah dengan menjadikan gudang-gudang di kawasan perindustrian sebagai pusat memproses, mengilang, dan menyimpan minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran tempatan” tambah Ketua Pengarah JKDM itu.

Keempat-empat suspek telah dituduh di Mahkamah Selayang pada 5 Ogos lalu.

Jelas Zazuli, kedua-dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976; Seksyen 5(1) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan Akta Eksais 1976, memperuntukkan hukuman denda tidak kurang sepuluh kali amaun duti eksais, atau RM100,000 yang mana lebih besar, dan tidak lebih daripada dua puluh kali amaun duti eksais, atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala di bawah Akta Membaharui Undang-Undang 1976, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun, dan maksimum 20 tahun, dan sebatang tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Zazuli menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. -MalaysiaGazette