Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang wanita asing warga Indonesia yang bekerja sebagai pengasuh telah ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam insiden penderaan dan kematian bayi di bawah jagaannya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kondominium Axis Crown, Taman Cempaka Ampang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan itu dibuat selepas mangsa yang berusia empat bulan dibawa oleh suspek iaitu pengasuh untuk menerima rawatan di Hospital Ampang dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

“Pada Khamis pukul lebih kurang 6.30 petang, pengadu merupakan Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Ampang telah menerima pesakit bayi.

“Pesakit (bayi) berusia empat bulan itu dibawa daripada salah satu Klinik di Pandan Indah dengan ambulans dan semasa tiba di Hospital Ampang, pesakit sudah tidak bernyawa.

“Kemudian pesakit tidak dapat diselamatkan dan telah disahkan meninggal dunia pada pukul 6.35 petang oleh pegawai perubatan tersebut manakala punca kematian masih dalam siasatan,” kata beliau menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Berikutan insiden tersebut, tambah Mohamad Farouk, pihaknya telah membuat tangkapan terhadap seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang merupakan pengasuh bayi berkenaan di Hospital Ampang.

Semakan lanjut polis terhadapnya mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

“Keterangan awal suspek (pengasuh Indonesia) memaklumkan bayi yang diasuh dalam keadaan sesak nafas kerana kain lampin dalam buaian berada di mukanya.

“Punca kematian masih dalam siasatan. Proses bedah siasat akan dilaksanakan terhadap mayat bayi itu pagi ini oleh jabatan forensik di Hospital Ampang.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini dan dibenarkan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 23 Ogos ini dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu polis meneruskan siasatan lanjut,” katanya.

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa sedang bekerja dan menyerahkan anak merekauntuk dijaga oleh suspek.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) akta kanak-kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Tegas beliau, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette